Skuad karate negara kendalian Ali Reza Souleymani berdepan ranjau berliku tahun ini apabila kebanyakan atlet senior mengalami kecederaan serius yang memerlukan masa tujuh bulan untuk pulih.

Tahun 2019 menyaksikan skuad karate negara bangkit dalam Sukan SEA Filipina apabila berjaya menggondol empat pingat emas secara keseluruhan.

Bagaimanapun, musim 2020 menjadi jalan berliku buat Ali Reza apabila perancangannya untuk membawa skuad negara berlatih di Iran dan menyertai beberapa kejohanan tergendala akibat wabak koronavirus.

Pengendali dari Iran itu juga perlu menangani krisis kecederaan apabila hanya dua atlet negara sahaja yang masih mampu mengikuti sesi latihan.

"Kami berdepan masalah apabila beberapa atlet negara harus menjalani pembedahan ekoran kecederaan dan bakal direhatkan sehingga tujuh bulan. Saya perlu mendapatkan muka baru untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan," kata Ali Reza.

Setakat ini, beliau mendedahkan pemenang pingat perak Sukan SEA 2019, Muhammad Arif Abdul Malik dan A. Somanroy terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan mereka.