Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Vincent Chen, melihat peluang sukar buat atlet karate negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ini kerana hanya lapan kategori bagi sukan karate bakal dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan setiap acara membenarkan penyertaan seramai 10 atlet sahaja.

Kategori paling ringan bakal disenaraikan di Tokyo bagi kategori kumite lelaki ialah di bawah 67 kg, sementara kategori wanita di bawah 55 kg.

Situasi berkenaan jelas tidak memberi kelebihan kepada atlet-atlet negara, khususnya bagi atlet lelaki, dan harapan terbaik mungkin hanya boleh disandarkan kepada dua atlet kumite wanita, Syakilla Salni Jefry Krishnan dan Shree Sharmini.

"Kami boleh menjangka sesuatu daripada Syakilla dan Shree untuk tempoh beberapa tahun lagi.

"Lagipun, mereka masih muda kerana baru berusia 24 dan 25 tahun.

"Sudah tentu bukan mereka sahaja harapan kami kerana dalam Kejohanan Asia akan datang, kami yakin akan melahirkan atlet lain juga," kata Vincent.

Menurutnya lagi, proses kelayakan bakal melalui empat fasa, iaitu berdasarkan kedudukan ranking, kejohanan kelayakan, satu slot kepada tuan rumah selain atlet yang meraih ranking tertinggi mengikut benua masing-masing.

"Dalam Sukan Olimpik 2020 nanti, kita akan menghantar tiga atlet kumite lelaki dan wanita, ditambah seorang peserta lelaki dan wanita untuk kategori Kata bagi menjadikan jumlah keseluruhan lapan atlet.

"Untuk prosedur senarai pendek dan kelayakan, itu tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang akan bersidang tahun depan."