Skuad hoki dalam air negara --sejenis sukan gabungan hoki padang dan renang-- mengambil langkah persiapan awal selepas berada dalam senarai 56 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina, tahun depan.

Sukan itu masih asing buat peminat sukan negara.

Realitinya, ia sudah bertapak di Malaysia sejak dua tahun lalu dan kini semakin aktif sejak Persekutuan Sukan SEA (SGF) meletakkan sukan itu dalam senarai awal temasya tahun depan.

"Negara-negara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura menghantar wakil ke Sukan SEA.

"Ini merupakan peluang kami bersaing di peringkat ini dan saya yakin kami dapat melakukan sesuatu nanti," kata kapten skuad hoki dalam air negara, Ishmael Ho.

Mengikut format pertandingan, enam pemain setiap pasukan merebut bola yang dipanggil "puck" dengan misi menjaringkan gol.

Di pentas Asia Tenggara, perlawanan berlangsung selama 20 minit dengan 10 minit bagi setiap separuh masa.

"Kami bermula secara kecil-kecilan dan kini kami memiliki seramai 15 pemain.

"Kami mahu mengembangkan sukan ini dan kami harap sukan ini dapat diterima di seluruh negara kelak," kata pemain negara, Maningadaa Keertan.