Skuad hoki ais Malaysia meletakkan sasaran tinggi untuk menjadi juara di laman sendiri dalam Kejohanan Piala Cabaran Asia B-20 tahun yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Selasa ini.

Impak positif selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di laman sendiri Ogos lalu membuka peluang kepada ramai bakat baru berjaya dicungkil untuk membarisi skuad kebangsaan.

Ia sekaligus memudahkan jurulatih, Kristog Kovago, untuk membuat penilaian bagi mempersiapkan skuad muda menghadapi Piala Cabaran Asia tahun ini.

Seramai 21 pemain telah dipilih dan hampir 50 peratus pemain yang beraksi dalam Sukan SEA dikekalkan untuk membentuk gandingan mantap.

"Selepas tamat Sukan SEA, sukan hoki ais semakin meningkat dan diterima lebih ramai rakyat Malaysia," kata kapten skuad B-20 tahun negara, Bryan Lim Chee Ming.

Keyakinan untuk menjadi juara adalah bersandarkan barisan muda yang mampu meraih gangsa dalam kejohanan dwitahunan itu.

Empat pasukan lain yang akan turut bersaing adalah India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina dan Kyrgyzstan.

"Skuad negara merupakan barisan termuda dalam saingan Sukan SEA, Ogos lalu, kami memiliki rata-rata pemain muda yang bakal beraksi dalam saingan yang bakal bermula Selasa ini," kata pengurus skuad hoki ais B-20 tahun negara, Haniff Mahmodd.