Hasrat skuad futsal negara untuk menguji tiga negara Eropah dalam persiapan menghadapi Kejohanan Futsal AFC di Taiwan Februari depan tidak kesampaian apabila kunjungan pasukan negara ke Croatia terpaksa dibatalkan.

Perkara itu disahkan jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, hari ini.

Menurut bekas pemain futsal negara itu, kunjungan ke negara itu bagi tiga aksi persahabatan menentang Hungary, England dan Bulgaria dibatalkan kerana ia melibatkan jumlah kos yang tinggi.

Namun, Chun Yong tampak sedikit lega apabila berjaya mendapatkan perlawanan gantian untuk anak buahnya melakukan persediaan mantap ke Taiwan.

Ia menerusi perlawanan persahabatan menentang Lubnan di Lubnan dan Kyrgyzstan di Kuala Lumpur bulan depan.

"Jadi, kami memiliki dua perlawanan di Lubnan dan selepas itu kami dijangka akan pulang pada 25 Januari.

"Kami mempunyai kelayakan Liga Futsal Kebangsaan pada dari 26 hingga 28 Januari. Aksi menentang Kyrgyzstan pula diadakan pada 29 Januari," katanya.

Tambahnya, skuad negara akan memulakan kem latihan pusat 2 Januari ini dengan empat muka baru bakal disenaraikan kali ini.

Ia termasuk tonggak negara, Khairul Effendi Bahrin, yang akan diberi pelepasan daripada kelabnya, SKN Kebumen dari Indonesia.

"Saya tidak mengharapkan banyak daripadanya (Khairul) selain perlu mengekalkan persembahan dan tahap kecergasaan.

"Permainan dengan skuad kebangsaan berbeza dengan kelab di sana. Saya berharap dia dapat mengekalkan momentum," ujarnya.