Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail, mengesahkan skuad negara bakal menjalani persiapan di Croatia bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFC di Taiwan dari 1 hingga 11 Februari tahun depan.

Menurut Rosmadi, skuad negara akan berdepan beberapa negara Eropah di negara itu yang tampak persiapan sesuai buat skuad kendalian Chiew Chun Yong.

Beliau turut mahu melihat skuad negara mula menjalani latihan pusat pada bulan depan.

"Dalam masa yang singkit ini, kami memerlukan mutu kejohanan atau perlawanan persahabatan yang berkualiti.

"Kami akan mencari pasukan yang mempunyai fizikal pemain yang lebih besar daripada pemain Asia Tenggara," katanya

Dalam pada itu, Chun Yong turut menyambut baik latihan dan siri aksi persahabatan di Croatia itu.

Meskipun kesuntukan masa, sekurang-kurangnya skuad negara dapat beradu kekuatan dengan lawan kompetitif sebelum ke Taiwan.

"Saya rasa kalau kami bermula pada awal Januari, ia adalah masa yang sesuai.

"Kalau kami tidak berhenti menjalani latihan sepanjang bulan itu, termasuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan di Croatia, sudah tentu ia adalah masa yang baik untuk kami sebelum Kejohanan AFC bermula," ujarnya.