Pengendali futsal negara, Chiew Chun Yong terpaksa menelan hakikat bahawa skuad negara menjalani persiapan akhir ke Piala AFF tanpa sebarang perlawanan kompetitif.

Mengikut perancangan awal, Malaysia akan menentang Indonesia pada 8 dan 9 Oktober.

Namun Indonesia membatalkannya di saat akhir atas sebab mereka akan bertemu Malaysia di peringkat kumpulan ketika saingan Piala AFF hujung bulan ini.

Situasi ini memberikan kesan kepada persiapan skuad negara dan Chun Yong tidak mempunyai pilihan selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan tempatan.

“Kami akan mengadakan perlawanan berdepan pasukan tempatan untuk menguji taktikal sebelum menghadapi Kejohanan AFF nanti,” jelas Chun Yong.

Meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dalam menyediakan pasukan mantap ke Bangkok, Chun Yong masih kekal dengan pendirian skuad bimbingannya mampu mara ke separuh akhir Piala AFF.

Senada dengan Chun Yong adalah kapten pasukan, Mohd Firdaus Razali, yang merasakan saingan dalam Kumpulan B tetap terbuka berbanding Kumpulan A yang dibarisi Thailand dan Vietnam yang membuat penampilan pada Piala Dunia Futsal 2016 di Colombia baru-baru ini.

“Kami tidak mengetahui kebolehan yang dimiliki oleh Myanmar, Indonesia dan Singapura, kami telah lama tidak beraksi, peluang masih ada tetapi kami perlu bekerja lebih keras,” kata Firdaus.