Dua atlet memanah compound para negara, Nor Sa'adah Abdul Wahab dan K. Morogen, mahu memastikan mereka terus konsisten menjelang musim 2018 dengan tumpuan utama terarah kepada Sukan Para Asia di Indonesia.

Nor Sa'adah serta Morogen menjadi penyumbang pingat emas tunggal acara memanah dalam temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur menerusi saingan berpasukan campuran manakala dalam saingan individu, mereka memperoleh perak apabila tumpas kepada lawan masing-masing dalam saingan final.

Di sebalik persembahan itu, Nor Sa'adah percaya masih banyak aspek yang dapat ditingkatkan andai mereka ingin memberi cabaran dalam Sukan Para Asia nanti.

"Buat masa ini, sesi latihan kami agak santai dan lebih menumpukan kepada aktiviti gim bagi meningkatkan kekuatan kami.

"Mungkin seperti sebelum ini, kami akan mula membina momentum dalam siri Piala Dunia," katanya mengenai pasukan negara untuk menghadapi Sukan Para Asia edisi ketiga di Jakarta dari 8 hingga 16 Oktober tahun depan.

Dalam masa sama, Morogen bertekad untuk terus memperbaiki kelemahannya selepas memperoleh pengalaman yang cukup baik dalam Sukan Para ASEAN sebelum ini.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki, namun saya yakin kami boleh memberi saingan," ujar Morogen.