Jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh, mempertaruhkan kelibat Izzat Shameer Dzulkeple dan Emma Firyana Saroji untuk mencabar kejuaraan dalam Kejohanan Juara Antara Juara di St John Park, Sydney, bermula 30 Oktober ini.

Bagi Zuraidi, Emma yang akan turun selaku juara bertahan sudah menjalani persiapan rapi untuk menghadapi saingan kali ini.

Emma tidak beraksi di New Delhi bagi membolehkannya fokus terhadap tugasan di Sydney.

Sementara itu, Izzat pula adalah pemain muda harapan Persekutuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) yang turut memperkuatkan skuad negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

“Tempoh kejohanan yang berlangsung agak rapat dan latihan yang telah dirancang dapat menghasilkan keputusan positif dalam kejohanan akan datang,” kata Zuraidi.

Selain beraksi dalam Sukan SEA, Izzat turut bersama skuad kebangsaan dalam Kejohanan Boling Padang Asia ke-12 di New Delhi, yang berakhir minggu lalu yang menyaksikan barisan negara meraih lima pingat emas.

Zuraidi kini mengharapkan kesinambungan daripada kejayaan dalam Sukan SEA dan Kejohanan Asia itu dapat dijelmakan di Sydney nanti.

“Kami meletakkan sasaran atlet yang bertanding akan membawa pulang pingat," katanya.