Skuad boling mulakan latihan Isnin ini

Oleh Bernama 12 Jun 2020 35
Skuad boling mulakan latihan Isnin ini
Pemain boling kebangsaan akhirnya mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memulakan latihan di Sunway Mega Lanes bermula Isnin ini selepas tiga bulan tanpa latihan.

Sebelum ini, MSN agak ragu-ragu walaupun pusat boling dibenarkan beroperasi sejak Isnin lalu selepas kerajaan memberi kebenaran kepada sukan tidak bersentuhan dan sukan dalam dewan seperti badminton dan boling semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos depan.

Ini adalah kerana MSN tidak mahu membahayakan keselamatan atlet di bawah kem latihan pusat Road to Tokyo (RTT), yang sedang berlangsung hingga 30 Jun, tetapi MSN akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), Maradona Chok, berkata MSN memberi kebenaran kepada pemain boling kebangsaan untuk mendapatkan penginapan sendiri di Lembah Klang dengan syarat mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh MSN dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami dibenarkan berlatih tetapi hanya kepada atlet yang tidak memerlukan penginapan di MSN, Bukit Jalil, kerana mereka (MSN) perlu menyediakan penginapan terlebih dahulu sebelum membenarkan atlet menginap. 

"Jadi, bagi atlet yang tinggal di Casa (asrama) dari luar (Lembah Klang), dinasihatkan supaya tinggal di kediaman masing-masing terlebih dahulu sehingga penginapan di asrama telah disiapkan.

"Pasukan elit lelaki dan wanita akan berlatih pada waktu yang berbeza sementara skuad sandaran akan berlatih pada waktu petang untuk menghadkan jumlah atlet dalam satu masa. Mereka akan menggunakan satu lorongan setiap seorang selain menerapkan langkah-langkah penjarakan sosial yang ketat,” katanya.

Semua atlet kebangsaan diminta mengosongkan asrama mereka di Bukit Jalil dan dihantar pulang sebelum PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan kini hanya atlet yang layak ke Sukan Olimpik di bawah Program RTT sahaja kembali menjalani latihan di sana sejak Isnin lalu.

Kebanyakan pemain dalam skuad elit, yang terdiri daripada enam atlet lelaki dan enam wanita, dijangka  memulakan latihan Isnin ini kecuali Adrian Ang dari Pulau Pinang, yang akan menyertai latihan pada Rabu depan.

Maradona, bersama-sama Pengurus Pemasaran Ampang Superbowl Malaysia, Mustafa Yassin, dan Penolong Pengurus Besar Sunway Mega Lanes, Michelle Wong, bertemu pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam untuk membincangkan mengenai SOP bagi sukan boling.

"Salah seorang pemain perlu duduk ketika seorang lagi pemain sedang beraksi, begitu juga jika ada pemain yang berada di lorongan. Satu lorong permainan akan dikosongkan bagi memastikan jarak antara pemain melebihi dua meter dari tempat permulaan balingan.

"Jurulatih tidak dibenarkan melakukan kontak secara fizikal dengan pemain dan perlu mematuhi kriteria penjarakan sosial. Kontak fizikal antara pemain boling juga tidak dibenarkan.

"Pemain berusia bawah 12 tahun disarankan supaya tidak memulakan latihan di gelanggang," kata Maradoa memberikan penjelasan mengenai SOP untuk sukan boling.

Beliau menegaskan MTBC tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan SOP yang disediakan oleh KBS sebaliknya menasihati pengendali pusat boling untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KBS, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk operasi perniagaan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen