Ketua jurulatih skuad besbol wanita negara, Sazali Husain, yakin skuad kendaliannya di landasan terbaik untuk melakar kejutan dalam Kejohanan Antarabangsa Hong Kong, 15 Februari tahun depan apabila mengalahkan Laos 9-6 di Kompleks Sukan MSN, Kampung Baru, kelmarin.

Sebagai persiapan menharungi kejohanan itu, skuad negara mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan bertemu Laos dan Singapura.

Kemenangan ke atas Laos tersebut menyuntik keyakinan kepada Sazali bahawa pasukan kendaliannya itu mampu melakar kejutan di Hong Kong kelak.

"Saya memberi peluang kepada barisan pelapis dan juga pemain muda kami sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan di Hong Kong, Februari tahun depan," katanya.

Tambahnya, perlawanan seperti itu akan memberi peluang dan pengalaman antarabangsa yang diperlukan anak buahnya dalam usaha meningkatkan prestasi mereka.

"Perlawanan dengan Laos dan Singapura bukan sahaja membuka ruang kepada kami untuk mengetahui tahap prestasi masing-masing, kami juga dapat betukar-tukar fikiran, rangkaian dan kemahiran.

"Apatah lagi pasukan Laos dibimbing oleh jurulatih profesional dari Korea Selatan," tambahnya.

Dalam kejohanan besbol wanita antarabangsa pertama mereka di Taiwan, Mei lalu, skuad negara mempamerkan prestasi baik apabila mengalahkan lawan yang menduduki ranking ke-10 dunia, Hong Kong, 8-4.