Skuad angkat berat Sarawak mulakan kempen intensif buru emas Sukma 2018

Oleh Rudi Affendi Khalik 29 November 2017 117
Skuad angkat berat Sarawak mulakan kempen intensif buru emas Sukma 2018
Skuad angkat berat Sarawak sudah memulakan latihan intensif selama enam hari seminggu bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh.

Ketua jurulatihnya, Edmund Yo, berkata anak-anak buahnya kini fokus kepada latihan bagi merealisasikan hasrat mereka untuk menyambar sebanyak mungkin pingat emas.

Katanya, sukan angkat berat menawarkan 32 pingat emas dan jumlah itu cukup besar untuk menyumbang kepada pungutan keseluruhan negeri.

"Untuk mencapai hasrat ini, maka latihan harus bermula awal. Persiapan perlu rapi," katanya ketika ditemui di pusat kecergasan Crossfit yang menjadi venue latihan pusat sukan tersebut di Kuching.

Jelasnya, hanya sebahagian atlet yang telah dikenal pasti bakal membawa cabaran Sarawak, hadir menjalani latihan pusat di Kuching.

"Selebihnya berlatih di tempat masing-masing manakala beberapa lagi atlet masih dalam peperiksaan awam.

"Penilaian prestasi atlet dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka benar-benar mantap dan mampu menghadirkan kejutan," katanya.

Tambahnya, senarai akhir atlet Sarawak untuk Sukma tahun depan hanya akan dapat diputuskan pada Mac depan, dengan atlet-atlet yang terlibat dijangka dihantar menyertai beberapa kejohanan penyesuaian.

Antara atlet yang kini menyertai latihan pusat di Kuching ialah Ho Hong Huat (62kg), Bapi Muyat (85kg), Jeremiah Paren (105kg), Danny Ngang (105kg ke atas) dan Jerry Gawan (105kg ke atas).

Turut menyertai latihan itu adalah Watson Mamba (69kg), Mohd Hussein Umar (95kg), Liew Thian Chen (94kg), Mario Bong (56kg), Katerina Dure (53kg) dan Grace Ping (90kg).

Dalam Sukma yang lalu di Kuching, skuad angkat berat menyumbang satu emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen