Persatuan Karate Sabah (SKA) memuji usaha daerah Tambunan yang terus berusaha membangun serta melahirkan bakat-bakat baharu sukan berkenaan di negeri itu.

"Tambunan sememangnya sebuah daerah hebat dalam melahirkan pelatih-pelatih berbakat, bukan sahaja untuk negeri Sabah tetapi juga untuk Malaysia.

"Bukti terdekat ialah kemunculan Pressy Misty Philip yang baharu berusia 18 tahun," kata Setiausaha Agung merangkap ketua jurulatih SKA, Julian Chin.

Beliau berkata, Pressy merupakan antara atlet muda yang diharap akan terus mencapai kegemilangan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Dia memenangi pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu dan akan mewakili Malaysia menyertai Kejohanan Remaja, Kadet dan 21 Tahun Ke Bawah Persekutuan Karate Dunia 2017.

"Kejohanan itu akan berlangsung di Santa Cruz De Tenerife, Sepanyol, pada 25-29 Oktober, di mana Pressy akan bertanding dalam acara kumite 68kg kategori 21 tahun ke bawah perempuan," katanya.

Sehubungan itu, Julian turut berharap daerah-daerah lain dapat menggandakan usaha menyaingi Tambunan yang sering dilihat mendominasi kejohanan-kejohanan peringkat negeri, sama ada kejohanan remaja mahupun senior dan terbuka.

"Usaha kita semua akan membantu merealisasikan azam presiden dan SKA dalam melahirkan pelatih berbakat untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2020.

"Bagi pihak SKA, kami juga berterima kasih juga pada ibu bapa, pihak sekolah dan penaja yang telah memberi sokongan padu untuk anak-anak dan pelajar mempelajari seni mempertahankan diri
ini.

"Apa yang penting, untuk menjadi seorang atlet yang hebat, ia bukan sekadar bergantung kepada bakat tetapi kesungguhan dan ketabahan berlatih serta disiplin yang tinggi," katanya.

Terdahulu, Julian berkata seramai 70 pelatih menyertai Program Kenalpasti Bakat (TID) SKA 2017 yang diadakan di Tambunan, baru-baru ini.

TID SKA yang diadakan di seluruh daerah utama di Sabah bertujuan untuk mencungkil lebih ramai bakat untuk mewakili Sabah dan Malaysia.

Pada masa sama, ia juga merupakan peluang SKA untuk melawat dan meninjau latihan yang dijalankan oleh cawangan dan kelab-kelab naungan persatuan itu.