Belum waktunya untuk bersenang-lenang buat pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, selagi masih belum mencapai ranking 35 terbaik dunia yang diimpikan sebelum berakhir tahun ini dengan fokusnya kini terarah kepada Kejohanan Terbuka Hong Kong dan Pakistan, bulan depan.

Meskipun pentas Sukan Asia 2018 sudah berakhir dengan meraih pingat perak bagi acara individu, Sivasangari masih menganggap tugasnya belum sempurna selagi belum meraih ranking 35 terbaik dunia.

Dia yang kini di ranking ke-42 dunia percaya tidak mustahil untuk mencapai misi itu dengan memastikan aksi terbaik dalam baki siri jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Terbuka Pakistan menyaksikan atlet berusia 19 tahun berkenaan diletakkan selaku pemain pilihan kelima dengan sasaran ke final adalah tidak mustahil.

"Terbuka Hong Kong merupakan salah satu siri dunia dan saya harap dapat layak ke pusingan kedua manakala saingan di Pakistan pula, saya yang diletakkan sebagai pilihan kelima dan menyasarkan separuh akhir.

"Selepas itu, saya akan menyertai beberapa kejohanan di serata dunia. Sehubungan itu, saya harap dapat mencapai kelompok 35 pemain terbaik," katanya.

Dilabel antara pemain terbaik di belakang Datuk Nicol David ibarat satu beban yang perlu digalas Sivasangari tatkala dia menganggap bukan mudah untuk konsisten pada usia muda seperti ratu skuasy negara tersebut andai tiada perancangan terbaik disediakan.

"Ia meletakkan sedikit tekanan terhadap saya, bagaimanapun saya mahu menikmati permainan ini.

"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri, justeru saya mahu menikmati apa yang saya sedang lakukan," katanya.