Pemain skuasy negara, S. Sivasangari, memahat namanya dalam sejarah apabila menjadi pemain wanita kedua selepas Datuk Nicol David bergelar juara Terbuka Malaysia.

Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kembali dalam kalendar pertandingan selepas tidak dipertandingkan dalam dua edisi sejak 2014.

Tumpuan saingan wanita terarah kepada Sivasangari yang juga pemenang dua pingat emas temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Berdepan juara kebangsaan Afrika Selatan, Milnay Louw, Sivasangari mempamerkan persembahan yang cukup bertenaga.

Meskipun diberi tentangan hebat, Sivasangari merampas set pertama 11-9.

Dia terus mengekalkan momentum itu dan hasilnya hanya memerlukan 24 minit untuk menutup saingan ini dengan kemenangan 11-3 dan 11-5 untuk bergelar juara.

“Saya sangat berbangga dengan kemenangan dalam Terbuka Malaysia. Ini merupakan pencapaian yang bermakna sebagai pemain negara yang kedua memenanginya selepas Nicol,” kata Sivasangari.

Sementara itu, penantian untuk menyaksikan pemain lelaki negara rangkul kejuaraan Terbuka Malaysia berterusan apabila Ng Eain Yow kecundang kepada Leo Au dari Hong Kong.

Kali terakhir wakil tempatan meraih kejuaraan adalah menerusi Azlan Iskandar pada 2010.

Turun dengan status selaku pemain wild card, Eain Yow gagal memberikan aksi terbaik serta kerap melakukan kesilapan.

Kesempatan itu dimanfaatkan oleh Leo Au untuk melakar kemenangan 11-6, 11-2 dan 11-4 untuk meraih gelaran antarabangsa keduanya tahun ini.

“Saya agak kecewa kerana gagal mengatasi Leo. Kesilapan yang dilakukan perlu diperbaiki dalam saingan akan datang,” kata Eain Yow.

“Eain Yow masih muda dan dia telah menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding lima bulan dahulu. Dia juga menewaskan beberapa pemain berpengalaman untuk ke final dan bakal menjadi saingan yang hebat pada masa akan datang,” kata Au.