Siti Zalina, Emma tutup 2018 dengan kejayaan manis

Oleh Penulis Jemputan 19 November 2018 338
Siti Zalina, Emma tutup 2018 dengan kejayaan manis
Atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji, menutup tirai 2018 dengan pencapaian manis apabila meraih satu pingat emas dan dua perak dalam Kejohanan Antarabangsa Klasik Hong Kong 2018.

Saingan itu adalah kejohanan terakhir buat skuad boling padang negara dengan emas hadir menerusi Siti Zalina bagi acara perseorangan serta dua perak daripada Emma untuk acara perseorangan dan berpasangan. 

Ternyata misi tahun ini dilunaskan dengan pencapaian terbaik susulan kejayaan di pentas Sukan Komanwel Gold Coast untuk gandingan itu meraih emas bagi acara berpasangan sebelum mereka menutup tirai kejohanan tahun 2018 dengan kejayaan terbaru di Hong Kong itu. 

Walaupun ia kali pertama tanpa iringan ketua jurulatih, Simon Botha, Siti Zalina dan Emma membuktikan kematangan mereka dalam menghadapi saingan untuk membawa pulang pingat. 

"Sasaran utama saya adalah Sukan Komanwel. Bagi saya, ia berjaya dan kemudian menyusul kejohanan-kejohanan lain. 

"Kami tidak menafikan bahawa acara perseorangan yang melibatkan format kalah mati bukan mudah kerana perlu tampil dengan prestasi baik dalam setiap permainan. Kami berjumpa sesama sendiri dan pastinya ia sesuatu yang sangat menarik. Ia sukar untuk dilakukan," kata Siti Zalina.

Apa yang pasti, Emma puas gandingannya bersama Siti Zalina buat julung kali tahun ini tidak pernah gagal membuahkan hasil dan diharap kejayaan itu tidak akan memisahkan mereka untuk terus digandingkan tahun depan. 

"Secara jujur, kami mengharapkan dapat kekal tetapi kami bersedia dengan segala kemungkinan. Kami akan berdepan Kejohanan Asia Pasifik dan Sukan SEA, jadi kami akan kekalkan pingat emas itu," ujar Emma.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen