Beregu boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad dan Auni Fathia Khamis, muncul juara dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA selepas mengetepikan cabaran sengit pasangan
Filipina, Sonia Bruce dan Ainie Knight, semalam.


Kemenangan ini memberikan suntikan moral kepada kedua-dua pemain menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur kerana Sonia dan Ainie merupakan antara pencabar terkuat bagi kategori beregu wanita.

Biarpun satu ketika ketinggalan 10-15 pada end 12, mereka berjaya bangkit pada enam end terakhir melalui catatan 21-17.

"Kami agak bergelut di awal permainan kerana sukar menyesuaikan diri dengan padang. Selepas itu, kami mula mencari rentak permainan," kata Siti Zalina.

"Setakat ini, saya sangat gembira bergandingan dengannya. Saya berharap dapat melakukan lebih baik dalam Sukan SEA nanti," kata Auni Fathia.

Namun, jejak kejayaan mereka gagal diikuti trio wanita negara yang diketuai Azlina Arshad bersama Zuraini Khalid dan Norazlinda Zakaria.

Biarpun berjaya merapatkan jurang 13-14 sehingga end ke-17, nasib tidak memihak mereka apabila tewas 13-15 kepada peserta Thailand.

"Agak kecewa kerana tewas dalam perlawanan ini. Ini merupakan persiapan kami dan kami berazam untuk memberikan yang terbaik pada bulan hadapan," kata Azlina.

Skuad negara juga berjaya meraih satu lagi kejuaraan menerusi kategori trio lelaki yang diwakili atlet pelapis, Haniz Nur Hakim, Ezrul Farhan dan Shahrizal Zabil.