Persembahan cemerlang dalam Kejohanan Boling Komanwel 2016 memberi keyakinan buat Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman untuk terus berada di tahap terbaik sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur.

Malaysia mencatat keputusan terbaik dalam kejohanan itu selepas meraih lima pingat emas, tiga perak serta satu gangsa.

Ia sekali gus mengatasi pencapaian 2005 di Cyprus, di mana skuad negara membawa pulang empat pingat emas ketika itu.

Siti Safiyah antara yang cemerlang dalam saingan di Johannesburg, Afrika Selatan itu selepas mengungguli saingan individu wanita, beregu bersama pemain berpengalaman, Shalin Zulkifli, di samping acara berpasukan campuran.

Mengakui persaingan di kalangan rakan sepasukan amat sengit, Siti Safiyah memburu tiket untuk membuat penampilan keempatnya di pentas Sukan Sea.

"Kami dalam fasa kedua sekarang. Jadi, sekarang ini kami berlatih agak keras untuk Sukan Sea tahun depan kerana kita banyak tumpuan pada pasukan boling.

"Jadi, kami tengah berusaha untuk mendapatkan pencapaian yang lebih baik daripada temasya sebelum ini," kata Safiyah.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Shalin, berpandangan pemain-pemain muda telah menunjukkan potensi mereka dengan permainan konsisten di Johannesburg.

Selain Shalin dan Siti Safiyah bagi saingan wanita, Timmy Tan serta Muhd Nur Aiman Khairuddin membawa cabaran dalam bahagian lelaki.

Nyata mereka juga tidak mengecewakan apabila Aiman menjuarai saingan individu untuk kemenangan sulungnya dalam kejohanan rasmi peringkat antarabangsa.

"Potensi memang ada, cuma mereka perlu teruskan dengan disiplin, komitmen yang mereka berikan selama ini supaya mereka berjaya lebih daripada apa yang mereka kecapi sekarang," kata Shalin.

Malaysia menamatkan saingan Kejohanan Boling Komanwel 2016 selaku juara keseluruhan dengan meraih lima pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.