Juara tiga kali berturut-turut dalam Kejohanan Silat Dunia, Siti Rahmah Mohd Nasir, masih menunggu perkhabaran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) tentang hasratnya untuk mengundur diri daripada kejohanan berkenaan selepas ini.

Siti Rahmah, yang meraih emas dalam Kelas E Puteri dalam kejohanan di Bali baru-baru ini, pernah menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding dalam Kejohanan Dunia selepas ini.

Fokusnya lebih tertumpu kepada persediaan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia 2018.

Siti Rahmah, bagaimanapun, kini dalam dilema apabila Pesaka masih mahu menggunakan khidmatnya menjelang Kejohanan Silat Dunia dua tahun lagi di Jakarta.

"Perancangan saya sendiri, Kejohanan Dunia di Bali adalah yang terakhir tetapi kita tengok pula program-program yang ada selepas ini.

"Sasaran peribadi saya selepas ini adalah Sukan Asia tetapi tengoklah kalau pencapaian saya masih bagus, ia boleh lagi dipertimbangkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, sedang dalam persiapan untuk menghadapi Sukan Sea tahun depan dan kembali berlatih selepas hanya berehat enam hari.

Dia dan rakan sepasukan akan ke Kuala Tahan, Pahang bagi menjalani latihan pusat, Januari depan.

"Kira-kira lapan bulan sahaja lagi masa yang ada untuk ke Sukan Sea. Itu tidak termasuk cuti. Saya dan pasukan harus membuat persediaan secepat mungkin sebab kita tidak mahu malu kerana kita tuan rumah.

"Sasaran pingat emas dalam skuad silat negara tinggi juga. Jadi, saya harap kami dapat membuat persiapan yang baik," kata Al Jufferi.

Skuad pencak silat negara tidak pernah gagal menyumbang emas sejak Sukan Sea di Indonesia pada 2011.

Dalam temasya di Singapura tahun lalu, Malaysia membawa pulang tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.