Sungguhpun gagal membutirkan pingat dalam Sukan SEA Filipina 2019, pelari pecut berpengalaman, Siti Fatimah Mohammad, menganggap tiada yang mustahil dalam memasang impian memburu slot ke temasya berprestij, Sukan Olimpik Tokyo 2021.

"Kalau boleh tahun ini saya mahu melayakkan diri dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik tahun depan.

"Insya-Allah, mana tahu larian saya tiba-tiba menjadi.

"Tetapi saya menerima perkhabaran bahawa kejohanan tahun ini banyak yang akan dibatalkan (akibat Covid-19).

"Tidak mengapalah, tahun ini kami berehat sebelum kembali beraksi dengan nafas baru," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah.





Mewakili negara bagi acara 100 dan 4x100 meter di Filipina hujung tahun lalu, Fatimah dan rakan sepasukannya sebaliknya gagal membawa pulang sebarang pingat.

Begitupun, atlet berusia 33 tahun itu yang memiliki catatan peribadi terbaik 100 meter iaitu11.51 saat, berpendapat adalah tidak mustahil untuk melepasi had masa kelayakan ke Tokyo, iaitu 11.22s.

Lebih-lebih lagi ketika ini dia menerima tunjuk ajar daripada pengarah teknikal dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller.

"Jurulatih baru mungkin akan nampak kekurangan saya.

"Mungkin dalam tempoh setahun ini dia boleh baiki kelemahan saya dengan menghasilkan peningkatan lebih pesat dalam setiap peringkat latihan berskala tiga bulan."