Sistem 'tier' Majlis Sukan Negara (MSN) akan menentukan hala tuju atlet kebangsaan menghadapi cabaran lebih sukar tahun depan selepas menutup musim ini dengan lapan juara dunia.

Realitinya, mereka semua tidak terbabit dengan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun pujian wajar diberikan kepada lapan juara dunia yang mengharumkan nama Malaysia.

Antaranya ialah Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Rafiq Ismail (boling tenpin) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat) untuk menyemarakkan cerita kejayaan atlet negara tahun ini.

Bagaimanapun, wujud persoalan adakah Malaysia berada di landasan tepat menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo sepanjang 2019 berdasarkan pencapaian atlet yang terbabit dengan temasya itu.

"Saingan kelayakan Olimpik menjadi sasaran seterusnya buat atlet negara. Buat masa ini, kami berada dalam fasa pemulihan atlet sebelum menghadapi persiapan untuk berada pada kemuncak prestasi ketika saingan kelayakan nanti," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Atlet senior berpotensi untuk layak ke Tokyo 2020 dan mungkin menjadi penampilan terakhir dalam temasya tersebut. Kami sudah dapat mengenal pasti beberapa atlet pelapis yang boleh memberikan impak pada masa akan datang," kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Sistem 'tier' yang menggantikan Program Podium menggalas tugas penting.

Dalam sistem itu, Datuk Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (basikal trek), Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (terjun) diletakkan sebagai harapan terbaik Malaysia meraih emas sulung Olimpik.

Mereka dijanjikan pelbagai kemudahan, termasuk aspek sains sukan, program latihan dan elaun paling lumayan berbanding atlet lain.

Setakat ini, pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Syazrin Abd Latif, sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Gemilang turut dilakar atlet muda, Bonnie Bunyau Gustin, yang dinobatkan juara remaja dunia powerlifting sementara Goh Jin Wei dan skuad hoki merangkul emas Sukan Olimpik Remaja (YOG).

Atlet negara yang diberi peluang menyertai Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia pula perlu membuktikan kemampuan mereka meraih pingat Sukan SEA Filipina 2019.

Perlu diingatkan, atlet sistem 'tier' akan dinilai setiap enam bulan, sekali gus bermakna tiada peluang untuk penumpang.