Penerjun wanita negara hanya terlepas peluang untuk meraih pingat emas dalam Siri Terjun Dunia yang sedang berlangsung di Montreal, Kanada di sebalik ketiadaan penerjun terbaik dari China kerana penularan wabak Covid-19.

Itu pandangan bekas pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik di Athens pada 2004, Bryan Nickson Lomas.

Bagi bekas penerjun negara itu, Malaysia sebenarnya memiliki kredibiliti untuk mencabar kejuaraan di Montreal berkenaan.

Skuad wanita memperoleh pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee kelmarin.

Dan yang terkini, Pandelela sekali lagi menjejakkan kaki di podium hasil meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform individu wanita.

"Dengan ketiadaan China, mereka sepatutnya boleh memenangi emas.

"Tetapi prestasi Mun Yee dan Pandelela nampak konsisten.

"Dan tidak dapat dinafikan, lawan mereka dari Kanada beraksi dengan amat baik.

"Saya rasa masih ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki Pandelela dan Mun Yee," katanya.

Bryan, yang bersara pada 2013, berasakan skuad terjun negara berupaya menghadirkan pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan berdasarkan prestasi yang dipamerkan Pandelela dan Mun Yee.

Dalam edisi di Rio pada 2016, Pandelela, yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong, menghadiahkan pingat perak dalam acara 10m Platform seirama wanita.

"Tidak terlalu awal untuk meletakkan mereka sebagai pencabar pingat dalam Sukan Olimpik.

"Kerana kita tahu pasangan Malaysia ini mempunyai kelebihan untuk meraih tiga kedudukan teratas.

"Dalam Kejohanan Dunia di Korea (Selatan) tahun lalu, Malaysia memperoleh pingat Perak.

"Persoalannya adalah sama ada mereka mampu untuk konsisten atau tidak," tambahnya.