Penerjun negara, Leong Mun Yee, menganggap prestasinya ketika meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama wanita dengan bergandingan bersama Pandelela Rinong dalam Siri Terjun Dunia masih belum cukup untuk mastikan kedudukan podium dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Gandingan itu mengumpulkan 297.66 mata dalam siri pertama FINA di Montreal, Kanada hari ini.

Begitupun, pertandingan itu tidak disertai oleh penerjun terbaik dari China dan Korea Utara kerana kebimbangan penularan wabak Covid-19.

"Prestasi hari ini baik-baik sahaja, tidak begitu buruk dan tidaklah begitu baik," katanya ketika dihubungi Nadi Arena hari ini.

"Ia boleh menjadi lebih baik.

"Apapun, kami perlu berusaha lagi sebelum ke Sukan Olimpik."

Sementara itu, kejayaan berkenaan semakin meningkatkan persaingan untuk mengisi slot ke Tokyo.

Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) perlu memilih penerjun terbaik bagi mengisi semua slot ke temasya terbesar itu, termasuk mereka yang akan mencabar dalam kejohanan kelayakan.

Ketika ini, ASUM merancang untuk mengadakan sesi pemilihan di Bukit Jalil pada pertengahan bulan depan bagi mengenal pasti penerjun terbaik untuk mewakili negara dalam acara 10m platform individu dan seirama.

Mereka yang terpilih akan beraksi dalam Piala Dunia di Tokyo, April depan yang juga merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk ke Sukan Olimpik.

Antara penerjun negara yang dijangka terbabit dengan sesi pemilihan itu ialah Pandelela, Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Jun Hoong dan bekas penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, yang bersedia untuk kembali beraksi.

"Kalau melihat kepada Siri Dunia, ia memberikan saya semangat untuk berusaha lagi," kata Dhabitah.

"Kerana kami adalah rakan sepasukan, sudah pasti kami bersaing dan belajar bersama-sama.

"Bagi saya, ia satu motivasi," katanya.