Silver Trouble juara Boling Padang Pairs Terbuka Sabah

Oleh Willie Jude 14 Oktober 2018 34
Silver Trouble juara Boling Padang Pairs Terbuka Sabah
Bekas atlet boling padang nombor satu dunia, Safuan Said, mengemudi pasukan Silver Trouble untuk muncul juara Kejohanan Boling Padang Pairs Terbuka Sabah 2018 yang menutup tirainya di Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Safuan yang bergandingan dengan Muhammad Fitri Hashim beraksi dengan kelas tersendiri untuk menewaskan Saiful Samdin dan Mohd Azwan Shuhaimi daripada pasukan MPK Klang B dalam aksi final petang tadi.

Safuan dan Fitri yang mewakili pasukan dari Perak itu menamatkan perlawanan akhir itu dengan kedudukan 16-9 untuk dinobatkan sebagai juara untuk membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi.

Terdahulu dalam aksi separuh akhir, gandingan itu menewaskan pasukan pilihan tuan rumah, Solib B, yang diwakili Farah Jali serta Hafiz Firdaus Affendy 17-19 manakala MPK Klang layak ke final selepas menewaskan pasukan dari Sandakan, Star Pairing, yang diwakili Faiz Ishak dan Saadan Alak, 21-7.

Walaupun tewas dalam final, MPK Klang B tetap membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta trofi manakala Solid B dan Star Pairing masing-masing turut membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi sebagai pemenang bersama tempat ketiga.

Hadiah kemenangan disampaikan Presiden Boling Padang Sabah, Datuk Ladislaus Maluda, dengan diiringi timbalannya yang juga pengarah kejohanan, Shuib Hashim.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen