Perak berlepas ke Mantin untuk menghadapi Negeri Sembilan dalam pertembungan ragbi Divisyen Satu Piala Agong di padang Kolej Tuanku Jaafar, petang esok, dengan tekad meraih kejayaan.

Malah, pengurus pasukan Perak, Silver Gaurus, Khairil Shahril Amin menyifatkan perlawanan itu sebagai misi hidup dan mati pasukan.

"Kami tiada pilihan melainkan mengutip mata penuh petang esok bagi meneruskan kemaraan ke suku akhir.

"Tinggal satu slot sahaja lagi kerana ATM sudah pasti layak selepas menang dua kali.

"Oleh yang demikian, Perak akan menurunkan kesebelasan terbaik kerana dapat menurunkan barisan utama kami, " katanya.

Khairil Shahril yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Perak (KRP) berkata beberapa pemain utama Perak mengalami kecederaan hingga tidak dapat diturunkan ketika bertemu ATM di Ipoh, Sabtu lalu.

"Mereka sudah pulih dan boleh beraksi esok," ujarnya.

Perebutan satu lagi tempat ke suku akhir turut membabitkan Kuala Lumpur yang akan melayani ATM di Padang Bellamy, Kuala Lumpur, juga petang esok.

Sementara itu, Negeri Sembilan sudah terkeluar daripada perebutan selepas mengalami dua kekalahan.

Begitupun, Khairil Shahril tidak menganggap mudah pertemuan itu dengan menyedari Negeri Sembilan bukan calang-calang pasukan.

"Mereka juga pasti turun dengan agenda untuk memenangi perlawanan.

"Sehubungan itu, Perak kena berhati-hati serta tidak melakukan kesilapan yang akan menyebabkan pasukan dihukum," katanya.