Pesilat negara, Nur Syazreen Abdul Malik, bakal menjadi sandaran pingat emas dalam Kejohanan Dunia 2020 selepas cemerlang dalam Kejohanan Asia apabila memungut emas bersama gandingannya, Nor Hamizah Abu Hassan.

Pesilat berusia 32 tahun itu berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) di Yanji, China, selepas acara ganda puteri tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.

Skuad kebangsaan bakal menghadapi jadual padat sepanjang 2020 dengan menyertai Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Lumpur, Mac depan, sebagai kejohanan pembuka tirai, diikuti Terbuka Belgium (April) dan Kejohanan Dunia (Julai).

Begitupun, Syazreen percaya pendedahan dalam kejohanan yang berterusan bakal membuahkan hasil menerusi penglibatan keempatnya dalam Kejohanan Dunia di Sarawak kelak.

"Kami nak buat yang terbaik dalam setiap pertandingan, ia bermaksud atlet dan jurulatih berpuas hati dengan persembahan kami.

"Ini adalah sukan subjektif, jadi kami tidak berani untuk mengesahkan sasaran.

"Insya-Allah jika tiada apa-apa halangan, saya berharap sekali lagi dapat naik ke podium," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Dalam pada itu, pesilat ganda putera, Sazzlan Yuga, terpaksa menjalani latihan tanpa gandingannya, Taqiyuddin Hamid, yang direhatkan selepas ibunya terlibat dalam kemalangan.

"Kami berdepan sedikit kesukaran untuk berlatih bersama.

"Ibu Taqiyuddin baru sahaja meninggal dunia semalam (kelmarin) tetapi saya berasakan kami tiada kekangan yang lain," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin