Silat Dunia: Nur Syafiqah fokus bina kekuatan 

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Mac 2020 93
Silat Dunia: Nur Syafiqah fokus bina kekuatan 
Kejayaan menggondol pingat gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Disember lalu menguatkan lagi semangat, Nur Syafiqah Hamzah, untuk terus berdaya saing musim ini.

Kejohanan edisi kelima di Yanji, China, itu menyaksikan skuad negara pulang dengan empat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Walaupun masih cetek pengalaman di pentas antarabangsa memandangkan Kejohanan Asia itu menjadi medan kedua buatnya, ia secara tidak langsung menyemarakkan semangat atlet tunggal puteri kelahiran Kelantan itu untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Sarawak, Julai depan. 

"Kejohanan Asia merupakan saingan kedua terbesar yang pernah saya sertai. 

"Ketika itu, buat pertama kalinya saya beraksi dalam suasana salji walaupun di dalam dewan dilengkapi sistem pemanas. 

"Saya berasa kerdil di samping pesaing-pesaing yang lain," katanya dalam program [email protected] sebentar tadi. 

Penularan novel koronavirus baru (Covic-19) turut menjejaskan kem silat kebangsaan apabila dua kejohanan sudah dibatalkan; Kejohanan Empat Negara yang membabitkan Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Singapura disusuli Terbuka Belgium yang sepatutnya berlangsung bulan ini. 

Begitupun, pesilat berusia 26 tahun itu tetap berlatih dan bertekad memantapkan aksinya dengan memberi fokus kepada kekuatan dan kemahiran.

"Selain menumpukan aksi di gelanggang, saya juga membina kecergasan dan berlatih di gimnasium bagi tujuan kekuatan. Saya juga perlu tingkatkan aspek kepantasan.

"Saya sentiasa mencabar diri sendiri untuk buat yang lebih baik tetapi perlu berhati-hati ketika berlatih bagi mengelak kecederaan."

Meskipun kelibat wasit juga sering memainkan peranan utama dalam sesebuah kejohanan, Nur Syafiqah tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak memberikan yang terbaik.

"Saya tidak mempunyai masalah dalam soal wasit. 

"Ini adalah sukan subjektif dan pemarkahan ditentukan melalui elemen masa, aksi mantap dan jurus."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen