Pelumba negara, Jupha Somnet, mencuri tumpuan dalam saingan hari terakhir Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 selepas turun beraksi dalam acara scratch wanita elit dengan misi untuk mengulangi persembahan cemerlangnya meraih pingat gangsa dalam acara sama, dua tahun lalu di Jepun.

Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan cabaran di tempat kelapan tatkala saingan diungguli pelumba Taiwan, Ting Yinh Huang.

"Saya akui melakukan kesilapan. Apabila saingan berbaki tiga pusingan, saya masih berada di belakang. Posisi saya di atas membuatkan saya membuang lebih banyak tenaga," kata Jupha.

Wakil dari Hong Kong, Diao Xiaojuan, berada di tempat kedua dan pelumba China, Xiaofei Wang, melengkapkan senarai di podium, sekaligus membuatkan Jupha sekadar meraih satu emas dalam penampilan semulanya dalam ACC, iaitu dalam acara perlumbaan mata, Jumaat lalu.

"Walaupun saya tidak dapat meraih kesemua pingat yang disertai, saya berpuas hati dengan prestasi diri sendiri kerana saya baru memulakan latihan semula bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.