Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kecewa dengan sikap acuh tak acuh pegawai persatuan sukan kebangsaan yang tidak hadir dalam mesyuarat bedah siasat pencapaian Sukan SEA Filipina selain lewat menghantar cadangan program latihan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mesyuarat bedah siasat pencapaian Sukan SEA Filipina di bangunan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini menyaksikan dominasi kelibat atlet dan jurulatih negara.

Skuad luncur air diwakili atlet dan pengurus sambil kem memanah dibarisi jurulatih dan pemanah negara.

Soalnya, individu yang bertanggungjawab dalam menyediakan laporan, merencanakan program dan memohon dana adalah pegawai persatuan sukan kebangsaan.

"Setiap pasukan perlu mainkan peranan masing-masing, tidak boleh lepaskan tanggungjawab kepada jurulatih atau setiausaha sahaja. Perlu ada perbincangan.

"Apa yang penting, persatuan itu sendiri perlu kenal pasti masalah dan cari kesimpulan untuk diberikan kepada MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membolehkan kami membantu mereka," kata Shapawi.

Daripada 52 persatuan sukan kebangsaan, hoki ais dan menembak masih belum menghantar laporan prestasi Sukan SEA Filipina.

Malah, empat persatuan masih belum menghantar cadangan program Olimpik Tokyo menjelang mesyuarat Isnin depan.

Mesyuarat itu akan menentukan hala tuju misi memburu emas sulung di Tokyo nanti.

"Secara kasar, jurulatih yang terlibat telah mempunyai program dan pandangan sendiri. Saya rasa pada 20 Januari nanti, kami akan dapat tahu persiapan yang dicadangkan oleh persatuan untuk fokus ke saingan Olimpik."

Sementara itu, kekuatan mental dilihat antara punca utama kegagalan skuad memanah dan luncur air mencapai sasaran pingat di Filipina bulan lalu.

Memanah menyasarkan lima emas sambil skuad luncur air meletakkan aras satu perak.

"Mental kami tidak bertahan sehingga saingan terakhir, jadi ia memberi kesan. Kami sukar kawal persembahan untuk mencapai prestasi terbaik," kata pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad.

"Sukan Olimpik dan Sukan SEA adalah saingan berbeza. Kami cuba rancang program seterusnya dengan MSN," tambah Pengarah Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Lee Jae-hyung.

"Saya bangga dengan pasukan yang telah lakukan yang terbaik walaupun terlepas emas dengan jurang yang kecil. Kami sudah jelaskan kepada komuniti. Tiada alasan kekalahan tetapi kami tidak berlatih dengan kemudahan penuh," ujar pengurus skuad luncur air negara, Hanifah Yoong.



Editor: Nafis Abdullah