Gimnas negara, Koi Sie Yan, dijangka muncul penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) esok apabila Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan RM6 juta hasil kejayaan kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

SHAKAM 2017 bakal mencatat rekod imbuhan paling banyak dihadiahkan kepada atlet negara.

Ia susulan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA dengan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa yang menyaksikan Sie Yan selaku penyumbang terbanyak menerusi empat emas dan satu perak.

Begitu juga dalam Sukan Para ASEAN susulan kejayaan Malaysia muncul naib juara keseluruhan di belakang Indonesia.

“Jumlah imbuhan bukan satu persoalan tetapi perkara yang paling penting adalah prestasi yang telah dipamerkan oleh atlet-atlet ketika beraksi dalam Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

SHAKAM diwujudkan pada 1986 sebagai motivasi untuk atlet mencapai kejayaan dalam sukan antarabangsa yang membawa prestij kepada negara.

Sementara itu, MSN mengambil keputusan menangguhkan imbuhan untuk penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, yang masih disiasat ekoran positif bahan terlarang jenis sibutramine.

“Buat masa ini, kemenangan Yan Yee akan ditangguh buat seketika dan ia akan diputuskan selepas kes doping ini selesai,” kata Shapawi.