Sibutramine: Turun 4kg dalam masa seminggu

Oleh Staff Writer 8 Oktober 2016 1779
Sibutramine: Turun 4kg dalam masa seminggu

Selain melakukan aktiviti fizikal, pengambilan pil menguruskan badan adalah antara alternatif untuk atlet menurunkan berat badan dengan cepat meskipun perlu berdepan risiko gagal ujian doping.

Terdapat pelbagai jenis pil di pasaran, termasuk yang mengandungi bahan terlarang seperti sibutramine, dan kebanyakan produk ini tidak menerangkan secara terperinci kandungan sebenarnya, sekali gus mampu memerangkap atlet ketika ujian doping.

Atlet tidak sedar pil menguruskan badan yang diambil demi kecantikan akhirnya menjadi perangkap, terutama apabila diuji Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Sibutramine mampu memberi kesan mendadak dalam menurunkan berat badan sehingga 4kg dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, ia akan memberi kesan negatif kepada tubuh badan kerana sibutramine akan memaksa cecair dalam badan keluar dengan cepat menerusi air kencing dan najis.

Walaupun Malaysia mengharamkan penjualan pil mengandungi sibutramine di pasaran terbuka, namun dengan penggunaan teknologi dan internet, sesiapapun mempunyai kuasa membeli.

Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar, mengakui pihaknya hanya mampu memberi penerangan kepada atlet akan kesan pengambilan pil-pil ini kerana sukar untuk mengawal penjualan yang kini boleh didapati secara di atas talian.

"Bila sudah menjadi bahan terlarang, sukar untuk atlet untuk membeli bahan ini tetapi kini mudah untuk mendapatkan pil-pil ini secara atas talian.

"Penjualan di atas talian sukar untuk dikawal melainkan kami memberi pendedahan kepada atlet mengenai bahaya membeli dan mengambil pil-pil ini," jelasnya.

Sementara itu, atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, berpendapat tekanan oleh jurulatih yang mahu atletnya menurunkan berat badan mungkin jadi antara faktor pengambilan bahan terlarang.

"Jurulatih minta turunkan berat badan tetapi atlet selepas bersenam, berat badan masih sama. Jadi, senario itu menyebabkan atlet memilih jalan singkat untuk menurunkan berat badan," katanya.

Peningkatan kes positif sibutramine juga makin ketara sejak kebelakangan ini.

Jika dulu atlet lebih banyak dikaitkan dengan steroid, namun apabila lima kes positif sibutramine dicatat hanya dalam tempoh dua tahun, ia mampu menjadi ancaman baru.

Realitinya sedar atau tidak, sibutramine boleh mengundang pelbagai gejala seperti serangan jantung dan stroke, begitu juga kesan negatif organ dalaman seperti buah pinggang dan hati.

Malah, ibu mengandung tidak dibenarkan mengambil sibutramine kerana boleh menjejaskan janin.

Namun, bagi atlet yang terdesak atau tidak sedar, sibutramine boleh menjadi jalan penyelesaian untuk mencapai kategori berat badan atau bagi wanita, khususnya, boleh mendapatkan bentuk tubuh diidamkan.

Pemerhati sukan negara, Mohd Faithal Hassan, melihat pengambilan bahan terlarang sebelum ini hanya melibatkan atlet yang bertanding di pentas dunia, namun ketika ini ia sudah menular sehingga ke kejohanan peringkat domestik.

"Kini atlet di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan IPT (SUKIPT) juga sudah terlibat. Jadi, tidak mustahil sindrom pengambilan bahan terlarang ini mampu melibatkan atlet di peringkat sekolah," jelasnya.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen