S. Shree Sharmini lebih rela mengerah keringat dan bertarung membawa nama Malaysia daripada berdandan tetapi untuk tahun ini, dia tidak kisah kerana berpeluang menyambut Deepavali dengan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur.

Diajukan persoalan sama ada pakaian sari atau uniform karate, Sharmini tidak membuang masa dalam menegaskan lebih selesa mengenakan seragam itu kalau itu sahaja pilihan yang dia ada.

Deepavali tahun ini disambut lebih manis memandangkan Sharmini merupakan antara tunjang yang memastikan skuad wanita mengungguli emas kumite berpasukan.

"Tahun lalu, saya tidak dapat menyambut perayaan Deepavali kerana kami berada di Australia menghadapi Kejohanan Dunia.

"Tetapi, kali ini, saya berpeluang menyambut Deepavali bersama keluarga di Kulim, Kedah," ujarnya.

Bagaimanapun, dia menegaskan ada menyimpan kekecewaan tidak menyumbangkan emas dalam acara individu dalam temasya KL2017.

Justeru, bagi Sharmini, 2018 merupakan tahun paling sesuai untuk dia mencipta kebangkitan memandangkan bermulanya perebutan tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Tahun hadapan saya akan menghadapi Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan kelayakan Sukan Olimpik.

"Setakat ini, saya berada di kedudukan ke-10 terbaik dunia dan untuk mengekalkan kedudukan itu bukan senang.

"Saya perlu berusaha keras," katanya.