Atlet karate negara, R. Sharmendran, berharap pilihannya untuk tidak menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan lutut kanan adalah tepat bagi memastikan persiapan menjelang Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo tahun depan tidak terjejas.

Sharmendran tidak menolak masih bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar ekoran kecederaan lutut kanan yang masih belum pulih sepenuhnya.

Nyata, kecederaan itu turut menyebabkan dia gagal beraksi dengan baik dalam Kejohanan Dunia di Madrid, Sepanyol, bulan lalu.

Namun, Sharmendran enggan mengambil risiko menjalani pembedahan kerana khuatir akan memakan tempoh masa yang lama untuk kembali ke gelanggang yang boleh menjejaskan persediaannya untuk menghadapi musim 2019 yang cukup penting dalam misi mengumpul mata kelayakan ke Tokyo 2020.

Dia juga enggan terburu-buru untuk menyertai Liga Premier Karate 1 di Paris, Perancis bulan depan andai tahap kecergasannya masih tidak mengizinkan.

"Saya masih dalam proses pemulihan.

"Saya mungkin memerlukan pembedahan tetapi saya mahu mengelakkannya memandangkan sebelah lagi lutut saya sudah melalui tiga pembedahan.

"Saya harap jurulatih mampu membantu pemulihan saya dalam tempoh dua minggu ini.

"Buat masa ini, saya masih boleh berlatih tetapi terbatas," katanya.