Masa latihan dalam tempoh sebulan terlalu singkat buat atlet karate negara, R. Sharmendran, yang juga ada harapan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Dia mengharapkan Persekutuan Karate Dunia (WKF) memuktamadkan tarikh saingan kelayakan Sukan Olimpik bagi memastikan persiapan lengkap dapat dijalankan.

Skuad karate antara sukan yang belum mempunyai wakil ke temasya Tokyo 2021 yang berada dalam Program Road to Tokyo (RTT).

Atlet negara, yang sepatutnya menghadapi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik di Paris bulan ini, dua kali terpaksa menunda hasrat itu ekoran wabak novel koronavirus (Covid-19) dan kini WKF belum menetapkan tarikh baru.




"Kami sebenar sudah membuat persiapan selama empat bulan dan menjelang bulan terakhir, kejohanan ini ditunda pula.

"Kami sempat mengikuti kejohanan kecil selain mula menunjukkan isyarat mengenai peningkatan prestasi.

"Saya tidak kata kami 100 peratus akan layak ke Sukan Olimpik tetapi persiapan kami berjalan dengan baik.

"Lagipun (krisis pandemik) ini membuat negara-negara lain takut untuk menerima pengunjung," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly.

Dalam pada itu, penundaan tarikh saingan Kejohanan K1 berkenaan memaksa Sharmendran untuk memulakan semula program latihan dari awal dalam mencari semula momentum serta kecergasan selepas hampir dua bulan hanya melakukan aktiviti di rumah.

"Secara amnya fasa persiapan selepas ini akan jadi berbeza.

"Kami tidak boleh terus memasuki kejohanan macam itu sahaja, ini bukan satu (usaha) magis."