Bergelar anak kepada jurulatih negara tidak memberi tekanan kepada atlet muda, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, 17, untuk membuktikan kemampuannya apabila dipilih menyertai latihan pusat skuad petanque negara menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun hadapan.

“Peluang menyertai skuad negara adalah satu lagi pencapaian membanggakan selepas memenangi pingat emas acara berpasukan wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lalu.

“Saya akan melapor diri ke kem latihan pusat di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, Kuala Lumpur, sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), minggu hadapan.

“Pengalaman beraksi di pentas Sukma akan digunakan sebaik-baiknya untuk menunjukkan keupayaan bersaing di peringkat Asia Tenggara pula.

“Sudah tentu saya ingin membuktikan sesuatu meskipun masih baharu dalam skuad kebangsaan,” tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun, itu.

Jurulatih negara, Syed Ali Syed Akil, menyifatkan muka baharu yang akan dipertaruhkan dalam temasya dwi tahunan itu bukan satu alasan, sebaliknya dijadikan cabaran untuk memperbaiki pencapaian satu pingat emas di Singapura, tahun lalu.

“Bergelar tuan rumah Sukan Sea harus dimanfaatkan dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga telah meletakkan sasaran dua pingat emas, iaitu dalam acara perseorangan dan beregu.

“Seramai sembilan atlet lelaki dan sembilan atlet wanita sedang dipersiapkan untuk merealisasikan impian itu, termasuklah lapan muka baharu bagi dua kategori itu.

“Piala Dunia di Madagascar dan Kejohanan Asia di Myanmar bulan depan akan menjadi pengukur keupayaan selain mendedahkan atlet-atlet dengan cabaran mental.

“Namun, keutamaan tetap pada Sukan SEA, di mana hanya Thailand menjadi penghalang skuad negara dan ini dibuktikan dalam temasya di Singapura, tahun lalu, dan kami perlu memantapkan lagi pasukan ini,” tambahnya lagi.