Legenda tenis Amerika Syarikat, Chris Evert, yakin Maria Sharapova akan memenangi pelbagai kejuaraan pada tahun 2018 selepas kembali daripada penggantungan.

Pemenang lima kali grand slam itu terlepas aksi Jelajah WTA selama 15 bulan selepas didapati positif bahan terlarang jenis meldonium ketika menyertai Terbuka Australia 2016.

Dia kembali pada April lallu dan meraih kejuaraan pertamanya pada bulan ini dalam saingan Terbuka Tianjin setelah menewaskan Aryna Sabalenka menerusi straight set, sekaligus menamatkan penantian sejak menjuarai Internazionali d'Italia, dua tahun lalu.

Kejayaan itu memberikan kejuaraan WTA ke-36 buatnya sepanjang karier dan Evert percaya pemain berusia 30 tahun itu bakal menikmati musim yang cemerlang pada tahun depan.

“Saya rasa dia kembali ke arena tenis dengan bergaya. Sharapova cedera dan itu satu-satunya halangan buat dirinya.

“Setiap kali dia cergas dan berada dalam situasi perlu menang, Sharapova masih lagi seorang pemain yang mampu memberikan saingan sengit dan jika keadaannya kekal, dia akan menjadi lawan yang sukar ditewaskan,” kata Evert.

Bagaimanapun, aksi terakhir bintang dari Russia itu pada tahun 2017 tidak begitu cemerlang selepas dikecewakan dalam saingan Piala Kremlin oleh Magdalena Rybarikova dalam pusingan pertama.