Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menafikan bahawa Program Road To Tokyo (RTT) perlu dirombak.

Program yang menelan belanja RM22.5 juta itu akan dikekalkan walaupun Sukan Olimpik Tokyo ditunda ke tahun depan berikutan pandemik Covid-19.

Program itu pada awalnya dirangka untuk tempoh Januari lalu hingga Ogos depan

Bagaimanapun, wujud persoalan mengenai keperluan untuk merombak program elit itu bagi memburu pingat emas sulung negara di Tokyo.

Dalam satu perbualan telefon bersama Nadi Arena, Shapawi berkata: "peruntukan yang sedia ada merangkumi kejohanan-kejohanan yang sepatutnya mereka (atlet) sertai sebelum isu Covid-19.

"Jadi, terdapat penjimatan dalam bajet sedia ada dan kami akan menggunakan bajet yang terdahulu telah diluluskan itu.

"Itu semua akan dibuat perancangan semula dan sekiranya memerlukan bajet tambahan, Insya-Allah, kami akan mencuba untuk mendapatkannya.

"Program itu akan berjalan selepas kami menerima senarai kesemua kejohanan.

"Buat masa ini, kami tidak dapat menentukan lagi perancangannya kerana banyak kejohanan yang disenaraikan sebelum ini telah ditunda dan kami terpaksa menunggu senarai kejohanan yang akan ditetapkan persatuan kebangsaan," katanya.