Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menggesa semua persatuan sukan kebangsaan segera menyiapkan cadangan program latihan dalam bengkel penstrukturan semula latihan atlet bagi memastikan ia dapat dijalankan Januari depan.

Setakat ini, masih belum ada mana-mana sukan yang sudah mempunyai cadangan program latihan lengkap bagi tahun 2019 yang diserahkan kepada MSN.

Justeru, bengkel kali ini menjadi peluang untuk persatuan sukan menyiapkan program masing-masing berdasarkan sistem berperingkat yang baru diperkenalkan.

"Dua hari ini akan menyaksikan program latihan, kemudian ia akan dikumpul dan dibangunkan dalam bentuk kos. Kami akan tahu lebih jelas mengenai jumlah peruntukan yang diperlukan untuk program latihan senior terlebih dahulu.

"Bagi kem junior, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Ia masih dalam proses untuk disiapkan," kata Shapawi.

Dalam masa sama, Shapawi tidak menolak setiap persatuan boleh mencadangkan nama atlet untuk diserap ke dalam program baru terbabit tetapi perlu memenuhi kriteria baru yang ditetapkan.

"Mereka boleh mencadangkan dan kami akan berbincang. Jika atlet-atlet Program Podium ingin digugurkan, perlu dilihat apa asasnya. Setiap persatuan akan memberikan pandangan mereka."

Sementara itu, masih wujud kekeliruan dalam kalangan persatuan sukan yang dikenal pasti mampu membutirkan pingat di pentas Olimpik Tokyo dalam menentukan tahap atlet masing-masing berdasarkan sistem berperingkat (tiering system) terbabit.

"Berdasarkan program ini, saya tidak pasti sama ada tingkat 1 akan menyaksikan pemenang pingat perak sebelum ini akan layak. Kami perlu berbincang dan menyemak semula," kata Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen.

"Hanya tiga atlet kami yang menonjol. Selain itu, kami tidak nampak sebarang kelayakan lagi," tambah Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Omar Saad.

"Untuk memanah, skuad compound berada dalam tingkat 2 dan recurve dalam tingkat 3. Pembahagian tingkat itu mengikut pencapaian kami dalam sukan yang lepas," ujar Setiausaha Agung Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan.