Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, meletakkan harapan tinggi agar momentum 2017 tidak terhenti setakat ini untuk barisan atlet terus
bekerja keras memburu kejayaan pada 2018.


Lapan gelaran juara dunia dalam masa satu tahun cukup membuktikan prestasi luar biasa atlet negara, sekaligus menjadi satu penanda aras baru untuk tahun 2018 bagi memburu lebih banyak kejayaan.

Lapan juara dunia yang berjaya dilahirkan pada tahun ini menandakan atlet Malaysia bukan calang-calang yang harus dipandang sebelah mata.

Apatah lagi, Malaysia belum pernah meraih pencapaian seumpama ini dan gelaran lapan juara dunia dalam masa setahun daripada pelbagai jenis sukan, termasuk atlet para, amat membanggakan.

Walaupun terdapat beberapa isu yang kurang sedap didengar sepanjang tahun ini, Shapawi menganggap ia sebagai satu proses penambahbaikkan yang perlu diambil serius oleh semua pihak menjelang tahun 2018.

"Kami amat bersyukur kerana berjaya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa. Kami akan terus berusaha bagi tahun 2018 untuk melahirkan lebih ramai atlet," katanya.