Shalin Zulkifli mengulangi pencapaian terbaiknya bersama pasukan boling wanita negara, dengan menamatkan kemarau 10 tahun memenangi pingat emas Kejohanan Boling Dunia
2017 di Amerika Syarikat, sekaligus merekod kejuaraan ketiga di pentas berprestij ini.


Ini adalah kejayaan kedua Shalin bersama skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan wanita di Las Vegas, selepas membantu Malaysia mencipta sejarah kejuaraan pertama di Kuala Lumpur pada 2003 dengan menewaskan England.

Shalin bersama barisan baru yang menampilkan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan, menggegar Arena South Point Bowling Plaza menerusi kejayaan bersejarah menewaskan pasukan pilihan, Singapura, dalam final yang berlangsung awal hari ini.

Kali terakhir skuad negara muncul juara ialah di Monterrey, Mexico pada 2007.

“Semua pemain negara berada pada tahap terbaik dalam saingan kali ini. Kejayaan ini adalah hasil usaha setiap pemain dalam pasukan,” kata Shalin.

“Beraksi di Las Vegas, kejohanan ini menerapakan format yang berbeza berbanding kebiasaan yang kami tempuhi. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan rentak permainan dan kami bersyukur meraih kejayaan memenangi pingat emas,” kata Syaidatul Afifah.