Shalin: Kebajikan atlet terus diperjuangkan 

Oleh Shaiful Shamsudin 22 April 2020 48
 Shalin: Kebajikan atlet terus diperjuangkan 
Barisan atlet wanita negara menyahut gembira apabila kebajikan mereka terus terbela dalam krisis wabak novel koronavirus (Covid-19) termasuk hak cuti bersalin.

Pengerusi Suruhanjaya Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Shalin Zulkifli, dalam satu wawancara di Facebook menjamin hak atlet Malaysia akan terus terjamin di sebalik pandemik itu. 

"Saya rasa ia perlu dimasukkan sebagai pilihan dalam kontrak kami.

"Bukan semua atlet menikmati (kemewahan) seperti Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei.

"Mungkin di luar sana ada atlet yang meraih pendapatan RM500 sebulan.

"Selama ini mungkin atlet-atlet yang pernah meraih pencapaian dan memenangi kejohanan besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia sahaja yang akan menikmati faedah tertentu. 

"Tetapi jika seseorang atlet itu berusaha gigih, mereka tidak seharusnya dipinggirkan begitu sahaja," katanya. 

Rakan sepasukannya di kem boling tenpin kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, melabel cadangan itu akan membantu atlet wanita memanjangkan karier mereka. 

"Saya berasa gembira walaupun akan berumah tangga tetapi masih dapat berkidmat untuk negara," katanya. 

Sementara itu, atlet boling padang negara, Nur Fidrah Noh, yang digugurkan beberapa bulan sebelum Sukan SEA Filipina hujung tahun lalu, berpendapat langkah berkenaan akan memberi sinar harapan kepada atlet.  

"Mungkin ada atlet wanita yang mata pencariannya adalah bergantung sepenuhnya kepada sukan. 

"Jadi (eloklah) jika mereka terpaksa cuti bersalin dan masih dalam program, elaun masih berjalan.

"Ini satu kelebihan buat mereka," katanya. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen