Atlet boling tenpin wanita negara, Shalin Zulkifli, menganggap kejayaan dalam Kejohanan Dunia Las Vegas 2017 bukan penamat untuk tahun ini, sebaliknya perlu fokus bagi saingan terakhir di Korea Selatan, minggu depan.

Tiada rehat untuk kelima-lima atlet negara, termasuk Shalin, apabila perlu mempersiapkan diri ke Kejohanan Boling Profesional di Korea Selatan pada 15 Disember depan.

Turut mengiringi Shalin ke Korea nanti adalah Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Rafiq Ismail dan Timmy Tan.

Meskipun mengecapi kejayaan manis di Las Vegas untuk pingat emas acara berpasukan, Shalin enggan terlalu dibuai dengan pencapaian itu kerana menyedari bukan senang untuk memastikan prestasi kekal konsisten.

"Mengekalkan prestasi adalah sasaran kami kerana mahu beraksi cemerlang dalam Sukan Asia 2018. Setiap atlet boling telah memberikan yang terbaik untuk kejayaan ini," kata Shalin.

Turut berkongsi kegembiraan adalah pemenang paling banyak pingat, iaitu Li Jane, yang berjaya menghadiahkan satu emas dan dua pingat perak.

Baginya, pencapaian bermakna ini cukup membuktikan mereka adalah pencabar besar di Asia, khususnya apabila menewaskan seteru utama dari Singapura dalam aksi final acara berpasukan

"Saya dapat berasakan momentum saya semakin meningkat. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan di Las Vegas," katanya.

Skuad boling tenpin negara disambut meriah oleh ahli keluarga serta rakan-rakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Mohd Najeeb Abdullah.