Shalin: Atlet juga perlu diberikan cuti bersalin

Oleh Muzaffar Musa 21 April 2020 199
Shalin: Atlet juga perlu diberikan cuti bersalin
Nasib atlet negara akan tetap terjamin biarpun keadaan ekonomi negara digugat oleh pandemik Covid-19.

Ia bermakna, inisiatif untuk memperjuangkan hak atlet tidak akan terhenti sebegitu sahaja termasuk alokasi cuti bersalin buat atlet wanita.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Shalin Zulkifli, menerusi satu temubual dalam laman Facebook peguam sukan, Richard Wee, hari ini. 

"Saya fikir, kita perlu menambah pilihan itu (cuti bersalin) di dalam kontrak kami (atlet).

"Pada akhirnya, bukan semua atlet seperti Datuk Lee Chong Wei atau Datuk Nicol David.

"Ramai atlet di luar sana yang hanya memperoleh RM500 sebulan.

"Hanya mereka yang mencapai satu tahap atau memenangi kedudukan podium dalam Sukan Asia, Sukan SEA dan sebagainya boleh mendapatkan kelebihan itu.

"Dengan cara itu, anda boleh memastikan atlet berusaha keras untuk mencapai tahap itu dan mereka sudah pasti akan merebut peluang itu berbanding jika anda menyingkirkan mereka selepas mereka mengandung," katanya.

Mengulas mengenai kebajikan atlet sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19, Shalin menambah: "Kita (atlet) agak bertuah di sini kerana, contohnya, kami sepatutnya memperbaharui kontrak dalam Program Podium pada bulan ini tetapi dengan perintah kawalan pergerakan, ia tidak dapat dilakukan.

"Jadi, MSN (Majlis Sukan Negara) telah menundanya sehingga Jun depan.

"Atlet mungkin tidak perlu risau mengenainya kerana kebanyakan atlet pasti dapat sesuatu dan ia tidak membebankan mereka," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen