Tonggak utama skuad ping pong Malaysia, Shakirin Ibrahim, masih belum terlintas ingin membimbing skuad negara selepas bersara, sebaliknya hanya fokus melatih barisan pelapis pasukan Kuala Lumpur.

Shakirin, yang sebelum ini telah memaklumkan persaraannya selepas berakhir Sukan SEA, Ogos lalu, kini menjadi jurulatih skuad pelapis pasukan Kuala Lumpur.

Setelah bersama skuad negara selama hampir 15 tahun, dia bagaimanapun belum pernah terfikir untuk menerima sebarang tugas bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai jurulatih sekiranya ditawarkan.

Ini kerana pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 itu menganggap ia satu tanggungjawab besar dan enggan terikat, sebaliknya lebih selesa membimbing Kuala Lumpur.

"Buat masa ini, saya tidak akan terima tawaran mengendali skuad negara, saya mahu meraih lebih pengalaman," kata Shakirin.

Persoalan siapakah yang mampu menjadi pengganti atlet sepertinya, Shakirin melabel pasukan kendalian Beh Lee Wei ini masih memerlukan masa yang lama bagi membentuk pemain berkualiti selepas ketiadaannya dan Ng Sock Khim.

"Skuad negara memerlukan masa, saya juga turut mengambil masa untuk meningkatkan mutu permainan. Kita perlu memberikan ruang tiga atau empat tahun lagi sebelum melihat peningkatan permainan mereka," ujarnya.