SHAKAM rai kecemerlangan atlet Sukan SEA, Sukan Para ASEAN 

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2017 232
 SHAKAM rai kecemerlangan atlet Sukan SEA, Sukan Para ASEAN 
Kejayaan wira dan wirawati negara yang cemerlang dalam Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 dirai dalam Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Arena Axiata, Bukit Jalil, malam ini. 

Dalam temasya KL2017 Ogos lalu, kontinjen negara muncul juara keseluruhan selepas meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, manakala dalam Sukan Para ASEAN pula, Malaysia muncul naib juara dengan 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa.

Insentif kemenangan berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Majlis itu turut menghargai pemenang perak dan gangsa apabila mereka turut diberikan insentif khas. Ia bukan sahaja untuk menghargai pencapaian mereka, malah menjadi dorongan kepada atlet-atlet untuk terus mengekalkan momentum prestasi dalam temasya serta kejohanan akan datang.

Atlet renang, Welson Sim, dan ratu gimrama, Koi Sei Yan, diumumkan atlet lelaki dan wanita terbaik Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Welson memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa serta mencipta dua rekod baru kejohanan dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas untuk menerima habuan RM33,000.

"Ini sesuatu yang mengejutkan, saya berasa amat gembira dengan perkhabaran ini. 

"Saya sepatutnya pulang ke Sarawak untuk menghadiri satu majlis. Ia satu peluang menarik yang diberikan kepada saya," kata perenang Sarawak itu.

Sei Yan pula cemerlang meraih empat emas, iaitu dua dalam acara aparatus gelung dan belantan, selain emas berpasukan dan emas individu keseluruhan untuk menerima insentif tertinggi berjumlah RM49,500.

"Saya akan memberikan lebih perhatian dan berlatih lebih gigih lagi," ujarnya.

Sementara itu, permata baru olahraga para, S.Thavanesvaran, diumumkan selaku atlet lelaki terbaik para selepas menghadiahkan tiga pingat emas dan satu perak dalam Sukan Para ASEAN, bulan lalu.

"Bukan mudah untuk saya meraih pencapaian ini. Ini kali pertama saya bertanding di Stadium Nasional, Bukit Jalil," kata atlet dari Segamat, Johor, itu yang beraksi dalam acara 100m, 200m dan 400m kategori T44 apabila menerima RM40,750.00.

Dalam masa sama, atlet berbasikal para, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, menerima anugerah atlet wanita terbaik para.

Dia yang membuat penampilan sulung berjaya menggondol empat pingat emas dan satu perak untuk membawa pulang insentif  RM53,000.

"Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir memberikan sokongan dalam Sukan Para ASEAN," kata Azlia. 

Secara keseluruhannya, insentif kepada atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat Sukan SEA 2017 berjumlah RM3,643,750, manakala RM1,891,000 diperuntukkan untuk pemenang-pemenang pingat Sukan Para ASEAN Ke-9.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen