Pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan, mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), terutama untuk atlet para yang meraih 17 pingat emas dalam Sukan Para Asia 2018.

Masalah kekurangan dana menyaksikan beberapa program sukan peringkat akar umbi terpaksa dihentikan atau digantung sementara waktu, antaranya unit sukan berprestasi tinggi, Program Podium, dan desakan mewujudkan semula program Rakan Sukan.

KBS perlu memikirkan jalan terbaik untuk mengurangkan kos dan antara pilihan yang ada ialah mengkaji semula SHAKAM.

"Kerajaan Australia, misalnya, mereka tidak memberi insentif dalam bentuk kewangan semata-mata, sebaliknya mereka memberikan bon seperti saham yang boleh digunakan selepas seseorang atlet itu bersara," katanya.

KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) masih belum membayar imbuhan SHAKAM untuk Sukan Komanwel, Sukan Asia dan terkini, Sukan Para Asia.

Nilai keseluruhan untuk skim tersebut dianggarkan berjumlah hampir RM4 juta.

"Saya harapkan imbuhan SHAKAM selaras (di antara atlet normal dan atlet para). Jika tidak, atlet para masih di takuk lama," kata pelumba basikal para negara, Najib Turano.

Pemain badminton para negara, Zulhimie Zainuddin, turut menyuarakan pandangan serupa apabila berkata: "Imbuhan SHAKAM memang penting untuk keluarga dan diri kami sendiri, agak tidak adil bagi kami kerana kami juga berjuang untuk negara."