Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, masih meletakkan kepercayaan penuh kepada keseimbangan pemain naturalisasi dan pemain tempatan untuk mencetuskan impak berkesan di pentas tertinggi.

Tiada bilangan had untuk penyertaan pemain naturalisasi dalam sesebuah pasukan oleh Persatuan Ragbi Dunia, namun Shahrul Zaman tidak mahu memilih jalan mudah.

Keputusan dalam Sukan SEA Filipina tempoh hari adalah bukti jelas Malaysia dipisahkan dengan pasukan tuan rumah yang berpunca daripada kelebihan fizikal pemain yang ditampilkan Filipina -- majoritinya adalah naturalisasi dan berdarah campuran.

Bagaimanapun, beliau lebih mementingkan prestasi jangka masa panjang walaupun masih bersetuju kehadiran pemain naturalisasi mampu memberi kesan terbaik untuk skuad negara.

"Kami berusaha untuk meningkatkan kemampuan barisan pemain tempatan dan dalam masa sama mempertimbangkan untuk mendapatkan pemain naturalisasi," katanya.

Dalam masa sama, KRM turut disuntik nafas baru menerusi Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) -- dilancarkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pada 2016 -- yang menerima peruntukan sebanyak RM2 juta bagi perancangan 2020.

Program tersebut dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN serta KRM.

Pelatih-pelatih berumur 7 hingga hingga 25 tahun akan menerima manfaat melalui perangkaan strategik di peringkat sekolah rendah dan menengah serta di peringkat institusi pengajian tinggi selain pengenalan "budaya ragbi" bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia berada di ranking pertama Asia dalam tempoh lima tahun.

Objektif Utama
• Layak ke Sukan Olimpik Remaja 2023
• Layak ke Sukan Komanwel Remaja 2021