Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan perhatian terhadap sukan-sukan yang tidak berada dalam kelompok utama susulan pembentangan Belanjawan 2019.

Belanjawan 2019 yang dibentangkan Jumaat lalu menyaksikan RM100 juta disalurkan kepada KBS untuk membantu persiapan atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Lantaran itu, hanya beberapa sukan dilihat akan mendapat manfaat daripada peruntukan berkenaan.

Begitupun, Shahrul Zaman berpandangan sukan-sukan yang lain juga tidak seharusnya dipinggirkan daripada menerima bantuan bagi terus membangunkan program masing-masing.

"Kami berharap supaya KBS dapat memberikan perhatian kepada sukan yang tidak berada dalam kelompok utama, terutama ragbi kerana ia memiliki potensi yang tersendiri," katanya.

Sementara itu, Shahrul Zaman turut percaya satu penerangan lebih lanjut akan diadakan bagi menentukan kriteria yang bersesuaian terhadap program latihan yang akan distrukturkan semula oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bermula Januari depan.

Ia susulan penilaian terhadap Program Podium yang akan dikendalian oleh MSN, termasuk program Kita Juara.

Sistem berperingkat yang dilakukan bakal menyaksikan sukan ragbi kemungkinan berada dalam peringkat tiga yang menumpukan kepada Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Kami berharap sekali lagi sukan ragbi yang dilihat memiliki prospek, mendapat sokongan dan bantuan sepatutnya supaya membantu kami terus meningkat naik."