Jurulatih lompat jauh Paralimpik negara, Shahrul Amri Suhaimi, mahu anak buahnya, Abdul Latif Romly, konsisten dengan catatan 7.53 meter ke atas bagi memastikan hasrat untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bukan angan kosong.

Apa yang pasti, Abdul Latif sendiri sudah mencatatkan lompatan terbaiknya ketika di Rio, Brazil, iaitu 7.60 meter hingga berjaya membawa pulang pingat emas Paralimpik.

Bagaimanapun, keutamaan Shahrul Amri adalah lompatan konsisten 7.52 meter ke atasmenjelang Terbuka Malaysia, April depan.

"Saya melihat peningkatan yang ditunjukkannya dan saya berasa yakin bahawa tahun hadapan dia akan mengekalkan prestasi terbaik yang dilakukan di Rio, iaitu lompatan 7.60 meter.

"Saya mengharapkan dia akan mendapat momentum yang terbaik itu pada tahun hadapan," kata Shahrul Amri.

Ketika ini, Abdul Latif sedang menjalani sesi pemulihan sebelum memulakan latihan sepenuhnya bersama Shahrul Amri.

Bagi Abdul Latif, dia bersedia untuk bersaing dengan atlet normal dan yakin catatan yang dimahukan jurulatihnya mampu direalisasikan.

"Saya telah memulakan latihan dalam dua minggu tetapi belum menjalani latihan bersama coach, saya melakukan latihan kecergasan dan berlatih di gim.

"Saya kini dalam persediaan untuk mendapatkan kekuatan bagi aksi tahun hadapan, jelas Abdul Latif.