Shah Firdaus Sahrom menjuarai acara berbasikal trek keirin buat kali kedua berturut-turut dalam tempoh sebulan apabila meraih pingat emas dalam Kejohanan Kebangsaan Australia, hari ini.

Lebih menarik, pelumba berusia 26 tahun itu menewaskan juara bertahan merangkap jaguh utama negara, Azizulhasni Awang, yang menduduki tempat kedua.

Kejayaan dua pelumba negara layak ke final keirin menjadi kelebihan buat Malaysia untuk mengatur strategi.

Shah Firdaus bijak memulakan henjutan tatkala pencabar lain lebih banyak memberi tumpuan terhadap pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pelumba kelahiran Johor itu mudah mengesahkan emas dan Azizul dengan perak sementara pelumba tuan rumah, Matthew Richardson, memungut gangsa.

"Misi kami datang ke sini kerana kejohanan ini dianggap simulasi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan kami perlu berlumba lima hari berturut-turut.

"Jadi inilah peluang untuk kami berlatih, di tambah pula dengan keadaan fizikal yang tidak begitu cergas.

"Baguslah kerana kami dapat pertahankan emas, tahun lalu Azizul yang memenanginya," kata Shah Firdaus.




Azizul pula kekal mencuba beberapa pendekatan namun masih mampu mengekalkan momentum podium.

"Dari kejohanan lalu lagi saya sudah ke depan selepas dua setengah pusingan, saya memang ke sini untuk latihan pecutan jarak jauh dan tengok keupayaan sendiri ketika mendahului perlumbaan.

"Penamat Shah Firdaus juga sangat baik dan kalau taktikal itu digunakan dalam Sukan Olimpik, tiada hal untuk dia menang."